Archive for May, 2006



25
May

Jual apa di internet?

“Usah pening kepala.. di internet, anda boleh menjual apa sahaja yang anda mahu”

Mungkin anda pernah mendengar ungkapan seperti diatas.. persoalannya, adakah benar kita memang boleh menjual apa sahaja di internet?

Bagi saya.. ungkapan di atas ada betul dan salahnya.

BETUL! jika… sasaran anda adalah seluruh dunia
SALAH! jika…. sasaran anda adalah pasaran tempatan.

Ya… situasi pasaran tempatan dan pasaran dunia adalah jauh berbeza. Kadangkala, Ia seringkali bertentangan sama sekali di dalam sesuatu perkara.

Tabiat membeli di US juga adalah amat berbeza dengan tabiat orang kita di Malaysia. Di US, tabiat pembelian dengan hanya melihat katalog diterima dengan luas. Pelanggan-pelanggan hanya perlu melihat katalog senarai barangan yang mereka suka, kemudian, mereka hanya perlu angkat telefon sahaja untuk membuat pesanan dan barangan yang di order akan sampai ke depan pintu rumah mereka. Sebab itulah, rancangan seperti “smartshop” dan “quantum showcase” memang mendapat sambutan yang hangat di US. Tetapi di malaysia? Saya dapat lihat waktu siaran rancangan tersebut semakin berkurangan.

Begitu juga halnya dengan tabiat pembelian di internet, di US mereka lebih suka membeli barang di internet. Selain dapat menjimatkan tenaga, mereka juga dapat menjimatkan kos minyak kenderaan, duit parking dan juga duit saman jika ada.

Tetapi di malaysia, situasinya agak berlainan sedikit, orang ramai masih lagi suka melihat, memegang dan membelek-belek sesuatu barangan itu sebelum membelinya. Tidak kisahlah jika mereka terpaksa bersesak-sesak di jalanraya, membuat 2-3 kali pusingan untuk mencari tempat letak kereta serta beratur panjang di kaunter bayaran. Itu belum ditambah lagi dengan pengumuman “jejak kasih” di antara si ibu bapa dengan anak-anak yang seringkali berlaku dipasaraya akibat kealpaan ibu bapa membeli belah. (Alah.. yang pengumuman anak hilang tu ler..). Mereka tidak hiraukan semua itu… asalkan dapat pegang barangan tersebut dan mendapatnya serta merta selepas mereka membuat bayaran, mereka rela menghadapi semua dugaan tersebut.

Jadi, jika anda ingin menjual sesuatu barangan kepada rakyat malaysia, anda perlulah mempertimbangkan faktor-faktor tersebut. Selain faktor tarikan(unik) yang terdapat pada produk anda, faktor tabiat pembeli juga perlu diambil kira. Secara “senang cakap” nya.. tidak semua barang boleh dijual diinternet jika pasaran anda hanyalah untuk rakyat malaysia.

Kesimpulannya, jika anda ingin menjual sesuatu produk yang “biasa-biasa sahaja” di internet, anda perlu menjawap satu soalan “maut” yang berbunyi..

“Mengapa saya harus beli produk ini dari anda melalui internet sedangkan saya boleh dapatinya di kedai-kedai yang berhampiran?”

Disini, saya berikan anda 2 faktor yang saya rasakan paling utama yang perlu anda pertimbangkan jika anda ingin menjual sesuatu barangan di internet kepada rakyat malaysia.

1) Keunikan Produk - ciri ini amat penting, pastikan produk anda betul-betul unik dan berbeza daripada produk-produk lain. Ini kerana, apabila anda ingin menjual sesuatu kepada rakyat malaysia melalui internet. Saingan anda bukanlah hanya dari peniaga-peniaga internet yang lain, tetapi anda juga perlu bersaing dengan ratusan ribu peniaga-peniaga yang mempunyai kedai di malaysia ini. Contohnya, jika anda bercadang untuk menjual “baju raya” di internet…pastikan “baju raya” anda itu betul-betul unik dan ia tidak terdapat di kedai-kedai. Jika tidak.. anda perlu berikan hampir 30 sebab mengapa orang ramai perlu membeli baju raya yang “biasa-biasa saje” itu dari anda melalui internet berbanding dengan hanya membelinya dikedai. Jadi, keunikan sesuatu barang amat penting apabila anda ingin menjualnya kepada rakyat malaysia melalui internet.

2)Tabiat Pembeli Anda - pembeli ini pula bergantung kepada produk anda, setiap produk mempunyai tabiat pembeli yang berlainan. Contohnya, pembeli “pakaian”.. pada kebiasaannya, orang yang ingin membeli pakaian akan lebih selesa untuk mencubanya dahulu, meramas-ramas kain dan meletakkannya di bawah leher untuk melihat sama ada warna kain tersebut sesuai dengan warna kulit mukanya.

Begitu juga bagi pembeli-pembeli minyak wangi… pada kebiasanya, mereka ini lebih suka menghidu bau minyak wangi tersebut terlebih dahulu sebelum membelinya. Jika diinternet.. bagaimana anda ingin menyuruh mereka mennghidu bau minyak wangi tersebut? (Jangan anda suruh mereka mencium monitor.. sudah!)

Jadi, barangan-barangan seperti itu agak sukar untuk dijual diinternet disebabkan oleh tabiat pembelinya. Produk-produk ini bukan tidak boleh dijual langsung di internet… boleh!, cuma ia agak sukar dijual. Mungkin anda hanya akan berjaya menjual 2-3 botol minyak wangi menerusi internet dalam jangka masa setahun. Anda perlukan usaha pemasaran yang sangat-sangat kuat, kukuh dan luarbiasa untuk menjual produk-produk seperti ini di internet.

Diulangi ya.. saya sedang membicarakan tentang pasaran di malaysia. Bukan pasaran antarabangsa. Jika pasaran antarabangsa.. saya rasa tidak ada masalah untuk anda menjualnya di internet.

Itulah 2 faktor yang saya rasa agak penting dan perlu kita pertimbangkan apabila kita hendak menjual sesuatu barang di internet. Sebenarnya ada banyak lagi faktor yang mempengaruhi kejayaan penjualan sesuatu produk di internet.. antaranya seperti brand, price , supply & demand, marketing strategy dan sebagainya.

Insyallah saya akan ulas faktor-faktor yang lain pada masa akan datang.

Sekian.

Hmm... saya rasa anda baru sahaja menjumpai blog ini! Apakata anda subscribe RSS feed blog ini? Barulah anda tidak akan terlepas post-post yang menarik!.

22
May

Sila beri komen anda pada website saya.

Kebelakangan ini, saya sering juga menerima email dari beberapa orang yang tidak dikenali yang meminta saya memberi komen dan pandangan terhadap website mereka. Saya tidak pasti mengapa mereka inginkan komen dari saya… kadangkala agak rimas juga. Bukannya sombong atau tidak mahu layan.. tetapi situasi saya yang agak sibuk ini tidak membenarkan saya membuat review pada sesuatu website dan menulis komen/laporan mengenainya. (Ehem.. lain lah kalau dibayar! :P)

Jadi, jika anda ada meminta apa-apa komen dari saya atau dari internet marketer yg lain untuk me”review” website anda tetapi email atau permintaan anda tidak dibalas. Harapnya, usahlah anda berkecil hati. Mungkin mereka ini terlampau sibuk dengan kerja-kerja dan tugas mereka.

Baiklah, untuk tidak mengecewakan anda yang emailnya tidak berbalas… saya berikan anda satu tips mengenai mendapatkan komen dan pandangan terhadap website anda.

Suatu masa dahulu, sewaktu saya masih bujang agogo dulu, saya pernah membuat kerja-kerja freelance seperti merekabentuk website, logo dan sebagainya. Pada kebiasaannya, saya akan merekabentuk antara 2-3 design bagi satu-satu “job”, jika mood baik & idea banyak pada masa itu.. saya akan buat sampai 6-8 design untuk job tersebut.

Sebagai orang yang membuat design logo.. sudah pastinya saya akan berusaha untuk menyampaikan mesej company tersebut kepada orang ramai menerusi design logo tersebut.

Maksudnya.. jika syarikat anda menjalankan perniagaan catering, maka, logo anda seharusnya menggambarkan bahawa syarikat anda adalah sebuah syarikat katering. Maksudnya, jika seseorang yang tidak pernah tahu mengenai syarikat anda, tetapi apabila dia terlihat sahaja logo anda, automatik mereka tahu bahawa syarikat anda menjalankan perniagaan katering. (oh!.. saya rasa saya telah terberi anda tips dalam menghasilkan logo yang baik)

Ok! Dipendekkan cerita, apabila saya selesai menghasilkan logo-logo tersebut. Saya akan menunjukkan logo-logo tersebut kepada kawan-kawan serumah saya dan menyuruh mereka meneka. Sudah semestinya, kawan-kawan saya itu tidak pernah mendengar nama company tersebut dan tidak tahu apa yang company tersebut lakukan. Soalan saya kepada mereka biasanya berbunyi begini..

“Joe! (bukan nama sebenar) , cuba ko tengok logo nie… ko agak2.. kompeni nie buat bisnes apa?”

Dari situ, bermacam-macam jawapan saya terima, kadang-kala, jawapan mereka agak mengejutkan juga. Bayangkan, logo yang kita rasakan agak sesuai untuk syarikat penghantaran, mereka sangkakan ia adalah logo untuk bengkel kenderaan.

Dari komen-komen mereka itu, saya dapat lihat dan ketahui, sejauh mana berkesannya design yang saya buat. Adakah ia berjaya menyampakan mesejnya ataupun tidak.

Jadi, begitulah juga halnya jika anda menghasilkan website. Setelah anda siap menghasilkan website perniagaan anda. Minta pandangan dari rakan-rakan anda atau pasangan anda mengenai website yang anda hasilkan.

Bagi “website perniagaan”, soalan yang perlu anda tanya pada rakan-rakan anda apabila meminta pandangan mereka bukanlah seperti ini..

“Joe.. tengok website aku sekejap.. cantik tak?”

Oh!.. jangan sesekali bertanyakan soalan seperti itu kepada rakan anda apabila anda meminta mereka memberi pandangan terhadap website perniagaan anda. Soalan yang lebih tepat sepatutnya berbunyi begini..

Joe!.. tengok website yang aku baru buat nie… cuba ko tgk dan baca…. agak2.. lepas ko baca.. ko rasa ko nak beli tak barang yang aku jual kat website nie? Ada tak perasaan macam nak membeli?

Yer.. itulah soalan yang lebih sesuai. Apabila anda ingin meminta komen/pandangan untuk “website perniagaan” anda. Soalan yang lebih utama ialah.. “adakah website ini mampu membuat pelawat-pelawatnya membeli?”… itulah soalan yang paling utama, persoalan mengenai cantik atau tidak website anda adalah perkara ke-8 atau ke-11.

Dan semestinya, soalan ini lebih baik ditujukan kepada orang-orang biasa (yang tidak tahu mengenai internet marketing) Mengapa? sebab.. merekalah yang akan menjadi pembeli2 anda. Jadi, komen serta pandangan merekalah yang lebih berharga dan tepat untuk diterima dan dikaji oleh anda. Apabila anda mendengar komen dari pada mereka ini, sudah pasti anda akan dapat mendengar perkara-perkara yang anda tidak sangkakan seperti…

“Aku tak paham lah.. apa yg ko jual sebenarnya nie?”…
Ini bermaksud, di dalam website anda, anda perlu menerangkan lagi dengan sejelas-jelasnya mengenai produk anda

“Aku nak beli.. tapi mcm mana?.. nak klik kat mana? nak bayar macam mana?”
Ini bermaksud, penerangan mengenai cara belian & cara bayaran perlu ada dan jelas

“Boleh caya ke nie?”
He.. he.. ini bermaksud, anda perlu ubah saleletter anda dan kasi lagi power suapaya ia dapat memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada pembeli.

Alamak! susah lah nak bukak website ko nie..
Ini bermaksud anda perlu optimizekan website anda, buangkan gambar-gambar yang tak berfaedah.

Pergh.. panjangnya.. malas aku nak baca!
Ini bermaksud, salesletter anda terlalu panjang dan membosankan. Salesletter yang baik, ia mampu menarik minat orang untuk membaca dan membuatkan orang itu tidak merasakan saleletter anda terlalu panjang walaupun sebenarnya mereka terpasa skrol website anda kebawah sebanyak 25 kali.

Oklah, itulah sahaja coretan saya untuk kali ini, rasanya, agak panjang juga saya tulis pada kali ini. (Ker… anda rasa macam pendek je? :P)

Kesimpulannya, jika anda ingin mendapatkan komen mengenai website anda, adalah baik untuk anda mendapatkan komen tersebut daripada orang-orang biasa sahaja, sebab merekalah itu target anda bukan? Jadi, dari merekalah anda akan mendapat perspektif yang lebih tepat mengenai website anda dan sekaligus mengetahui di mana kelemahan website anda yang perlu anda perbaiki.

Sekian. Salam cyber dari saya.

20
May

Arghh!! Akaun saya di blok lagi!

Sekali lagi… dalam masa sebulan, ini adalah kali kedua saya mengalami masalah yang sama. Akaun bank maybank saya telah diblok daripada sebarang transaksi. Nak masuk duit tidak boleh, nak keluar duit pun tidak boleh!. Sekaligus menjejaskan perniagaan internet saya…

Kali pertama, ia berlaku pada awal bulan ini. Saya telah menghubungi pihak maybank, mengapa semua transaksi akaun saya di “blok”? Alasan yang diberikan, akaun saya terlalu banyak transaksi, pihak maybank hanya membenarkan 150 transaksi sahaja dalam masa sebulan dan akaun bank saya telah mencapai had tersebut.

Aduh!..kemudian, saya bertanya lagi, apakah yang perlu saya lakukan untuk menyelesaikan masalah ini?

“Anda perlu update buku akaun anda” jawap awek khidmat pelanggan tu
“Kalau saya tak update?”.. balas saya..
“Akaun anda akan terus diblok sehingga anda mengupdate buku anda”.. jawap dia
“Hmm.. oklah!.. Ada tak cara untuk saya mengelakkan perkara ini dari berlaku lagi?”.. tanya saya lagi..
“Kalau anda buka akaun yang baru.. dia tak ada pakai buku, then, awak takkan menghadapi masalah seperti ini.” jawap awek tu lagi..
“Ooo.. ok!”.. jawap saya ringkas.

Selepas itu, saya cuba update buku akaun saya di bank maybank menggunakan mesin yang terdapat di bank tersebut. Tapi malang, ia tidak boleh diupdate, mungkin buku akaun saya buku versi lama menyebabkan mesin update buku tersebut tidak dapat menerimanya.

Dipendekkan cerita, selepas 3 hari, saya masih gagal untuk mengupdate buku bank saya. Tetapi, tiba-tiba akaun bank saya sudah ok semula, akaun saya sudah tidak diblok lagi. Sungguh ajaib?.. Jika menurut awek khidmat pelanggan tersebut, “akaun saya akan terus diblok sehingga saya mengupdate buku akaun saya”.. tetapi kini, saya tidak update lagi buku saya… hmm…. pelik…

Selepas seminggu kejadian itu..saya telah pergi ke bank maybank untuk membuka satu lagi akaun, akaun baru, “i-account” nama dia. Tetapi, apabila saya sampai di meja pegawai tersebut (setelah saya mengisi borang yang panjang dan menunggu giliran). Pegawai tersebut menyatakan, saya tidak digalakkan buka akaun tersebut, sebabnya.. saya dah ada akaun simpanan wadiah di maybank, jadi tak perlulah saya buka sampai 2 akaun yang sama. (i-account & wadiah adalah merupakan akaun jenis “akaun semasa”)

Dipendekkan cerita.. saya pulang dengan perasaan yang agak hampa dah berharap masalah akaun saya diblok tidak akan berulang lagi.

Tetapi, hari ini harapan & jangkaan saya meleset. Ia berulang sekali lagi… nampaknya, terpaksalah saya meng”update” buku akaun saya hari isnin nanti. Sementara itu, saya perlu fikirkan jalan penyelesaian yang lebih baik agar masalah ini tidak berulang lagi… anda ada cadangan?