Archive for March, 2007

29
Mar

Aku seekor ikan jepun?

Mungkin ada yang sudah tahu dan dengar kisah ini. Tapi tidak mengapalah, jika dah tahu, anggaplah ia sebagai ulangkaji.

Orang-orang di jepun sememangnya amat gemarkan ikan yang segar. Namun begitu, kawasan penangkapan yang berhampiran pantai agak kekurangan ikan. Perkara ini telah memaksa, nelayan-nelayan di jepun untuk pergi lebih jauh lagi ke kawasan perairan pantai dalam untuk menangkap ikan. Semakin jauh mereka pergi, semakin lamalah masa yang perlu diambil untuk mereka pulang membawa hasil tangkapan mereka.

Disebabkan tempoh pulang yang lama itu, ia telah menyebabkan ikan-ikan yang ditangkap, menjadi kurang segar apabila sampai di pelabuhan. Dan rakyat jepun, tidak sukakan rasa ikan-ikan tersebut.

Untuk mengatasi masalah ini, nelayan-nelayan jepun telah mengambil langkah drastik dengan memasang peti sejuk beku di dalam bot mereka. Dengan itu, semua hasil tangkapan yang diperolehi akan terus disejukbekukan sewaktu di tengah laut lagi. Kaedah ini, telah membolehkan nelayan-nelayan jepun untuk pergi lebih jauh, dan tinggal lebih lama lagi di laut. Namun begitu, citarasa rakyat jepun sememangnya agak cerewet, mereka dapat merasakan perbezaan antara rasa ikan segar dengan ikan yang telah disejuk-bekukan, dan mereka, tidak sukakan rasa tersebut.

Bagi memenuhi permintaan ramai rakyat jepun yang inginkan ikan segar, maka, nelayan-nelayan di jepun pun menukarkan peti beku yang terdapat di dalam bot mereka dengan tangki yang berisi air pula. Dengan itu, semua ikan yang ditangkap tidak lagi akan disejuk bekukan, tetapi ia akan dimasukkan ke dalam tangki air tersebut agar ikan tersebut dapat terus berenang dan hidup apabila sampai ke pelabuhan.

Namun begitu, disebabkan tangki simpanan yang kecil maka, ikan-ikan tersebut tidak dapat bergerak bebas dan sering berlanggar dengan ikan-ikan yang lain, ini menyebabkan ikan-ikan tersebut penat dan akhirnya, mereka berhenti bergerak. Apabila sampai di pelabuhan, ikan-ikan tersebut masih hidup, tetapi ia sudah tidak bergerak selama beberapa hari. Dan rasa ikan ini, tetap kurang enak dan rakyat jepun tidak gemarkannya. (Fuh.. cerewet betul rakyat jepun nie)

Jadi? Apa lagi yang perlu dilakukan oleh syarikat-syarikat nelayan di jepun ini untuk memastikan ikan-ikan yang ditangkap sentiasa segar apabila sampai di pelabuhan? Jika anda dilantik sebagai “consultant” kepada industri perikanan di jepun ini, apakah yang akan anda cadangkan?

Anda nak tahu apa yang mereka lakukan seterusnya?

Mereka masih lagi mengekalkan tangki air tersebut di dalam bot mereka, cuma pada kali ini, mereka letakkan seekor ikan jerung kecil di dalam setiap tangki tersebut.

Dan anda nak tahu apa berlaku?

Ikan jerung kecil tersebut telah membaham ikan-ikan yang lemah, tetapi, ia tidak banyak, hanya sedikit sahaja, manakala ikan-ikan yang selebihnya selamat kerana mereka akan terus bergerak dan cuba melarikan diri dari ikan jerung tersebut. Ini adalah antara soal hidup dan mati beb!. Hasilnya, apabila sampai di pelabuhan, semua ikan-ikan tersebut masih lagi hidup, masih bergerak dan ini membuatkan ikan-ikan tersebut terus segar.

==================
Pengajarannya
==================

Kita perlukan “jerung” di dalam hidup kita untuk menjadikan hidup kita lebih “hidup” , “segar” dan “enak”. Jerung di dalam kehidupan bolehlah di umpamakan seperti cabaran2 serta tekanan2 yang wujud dalam kehidupan kita. Tanpa sebarang cabaran atau tekanan, hidup kita akan menjadi “bosan” dan “biasa-biasa” sahaja.
Jadi, usah gentar dengan segala cabaran & tekanan yang anda hadapi di dalam kehidupan ini, ia sebenarnya akan membuatkan anda lebih bertenaga dan lebih berjaya.

P/s:- Jika anda inginkan sedikit motivasi untuk memulakan perniagaan internet anda, bayangkan hari ini, anda dipecat dan dibuang kerja. Jika anda boleh membayangkannya, pasti anda akan dapat menyelami, bagaimana perasaan menjadi seekor ikan kecil yang ditangkap dan dikurung bersama-sama ikan jerung di dalam sebuah tangki air yang kecil. Fuh~~~ gerun seh…

Anyway, seperti yang pernah saya nyatakan, cuba kuasai punca pendapatan anda sebanyak mungkin.

Hmm... saya rasa anda baru sahaja menjumpai blog ini! Apakata anda subscribe RSS feed blog ini? Barulah anda tidak akan terlepas post-post yang menarik!.

26
Mar

Pelaburan Internet…. Scam?

Saya baru sahaja tamat membaca satu laporan khas yang ditulis oleh Azizi Ali berkenaan Swisscash, Skim Cepat Kaya & Lain-lain Pelaburan Maut.

Swisscash Pelaburan Haram
Laporan ini anda boleh dapati dari website Azizi Ali di http://millionairesplanet.com/books_specialreport.htm dengan harga RM19.90. Saya rasa, ia adalah satu pelaburan “ilmu” yang berbaloi sebelum melaburkan wang kita ke mana-mana skim pelaburan dan akhirnya lesap begitu sahaja.

Dalam report ni, ada diterangkan, apa itu pelaburan offshore…. saya pasti… apabila anda membaca laporan ini, anda dapat rasa, bagaimana diri anda diperbodoh-bodohkan oleh orang bodoh yang tidak tahu langsung apa itu pelaburan offshore tetapi berlagak pandai bercerita tentang pelaburan offshore yang kononnya boleh memberikan pulangan berlipat kali ganda secara “tetap”. (Maaf jika ayat saya agak kasar…)

Turut diceritakan dalam report ini tentang sejarah skim pak man telo, dimana hampir 50,000 orang telah menyertainya dengan anggaran wang pelaburan sebanyak RM100 juta.

Apabila anda mengetahui tentang sejarah skim pak man telo ini, anda boleh lihat, sejarah ini sedang berulang pada masa ini. Bagaimana orang ramai yang menyertai skim ini, sanggup mempertahanan skim ini mati-matian. Bagi mereka, semua orang yang kata skim pelaburan ini tipu…… adalah penipu. Tidak kiralah orang itu makcik kantin ke, tukang kebun ke, penoreh getah ke, doktor ke, penasihat kewangan ke, mufti ke ataupun jutawan sebenar pun! Jika orang itu kata skim pelaburan yang mereka sertai itu adalah tipu.. bagi mereka, orang yang cakap itulah yang penipu. Mereka akan kata, orang tersebut busuk hati, dengki, tak boleh tgk orang senang dan orang yang cakap skim pelaburan mereka sertai itu tipu, tidak tahu apa-apa kerana mereka belum masuk dan sertai lagi pelaburan itu.

Ho! ho!.. satu alasan yang sungguh kurang bijak!…

Anda tidak perlu terjun dari bangunan untuk mengetahui bahawa jatuh bangunan itu adalah sesuatu yang menyakitkan dan boleh membawa maut. Anda tidak perlu membiarkan diri anda di patuk ular, untuk mengetahui dipatuk ular itu adalah sesuatu yang menyakitkan. Dan anda, tidak perlu menjilat tahi, utuk mengetahui tahi itu busuk.

Sejarah pak man telo sudah mengajar, jadi mengapa perlu biarkan ia berlaku sekali lagi? Anda boleh lihat bagaimana orang ramai kehilangan wang berpuluh-puluh ribu di dalam skim pak man telo dahulu.. dan situasi dulu, saling tidak tumpah dengan apa yang berlaku sekarang.

Apa yang paling pelik, jika seseorang penasihat kewangan dan jutawan yang boleh menjadi jutawan kerana kebijaksanaan mereka menguruskan wang serta pelaburan mereka serta bijak mengendalikan dana-dana pelaburan di bank. Turut dituduh tidak tahu apa-apa tentang skim mereka. Oh! Jika orang tersebut boleh menguruskan pelaburan serta dana-dana di bank.. memahami segala selok belok urusniaga perdagangan dan instrument pelaburan yang ada di dunia ini, saya tidak nampak mengapa mereka tidak boleh faham dengan skim pelaburan anda.

Jadi… sudah-sudahlah, berhentilah dari menyertai dan mengajak orang ramai menyertai scam pelaburan internet ini!

Kalau scam, kenapa saya masih dapat wang tiap2 bulan tepat pada masanya?

Helloooo…. do you know what is “scam” means?

Scam di dalam kamus oxford bermaksud “dishonest plan to making money”, atau dalam bahasa melayunya, suatu rancangan yang tidak jujur di dalam membuat duit, lihat perkataan yang di “bold”kan itu.. ia adalah “rancangan”

Jadi… apabila saya menyeru, jangan sertai sesuatu pelaburan itu, kerana ia adalah scam.. ia bermaksud, jangan sertai pelaburan tersebut, kerana ia adalah merupakan satu rancangan yang tidak jujur yang berniat untuk menipu wang anda.

Tetapi, yang sedihnya, ramai orang yang salah faham dengan maskud scam ini. Bagi mereka, selagi website tersebut membayar mereka, maka, ia bukanlah scam. Ia hanya akan dikatakan scam apabila website tersebut sudah tidak membayar mereka lagi…

Sekali lagi…. helllooooo…. itu dipanggil “fraud” bukan lagi “scam”.

Scam = rancangan jahat untuk menipu wang anda ( pada fasa ini, mereka akan memberikan anda maklumat yang tidak jujur tentang bagaimana wang anda akan berganda, kononnya, offshore investment, commodity, warrant dan apa2 sahaja nama yang pelik dan sedap didengar, dan yang pastinya, anda tidak tahu apa-apa pun mengenainya) = masih membayar, bertujuan untuk mendapatkan lebih ramai lagi mangsa

Fraud = penganjur cabut lari (dilakukan selepas kuota mangsa & keuntungan mereka sudah mencukupi atau sistem mereka sudah tepu dan tiada lagi mangsa baru yang dapat dicari) = tidak lagi membayar anda

Itulah kesilapan yang seringkali dilakukan oleh orang-orang tamak yang pemalas tetapi mahu kaya. Mereka sangkakan, yang “fraud” itu scam.. dan yang “scam” itu adalah jujur dan murni. Dan pihak yang jujur dan murni di dalam menegur mereka, di panggil pula sebagai pendengki, busuk hati, bodoh, tak tahu apa-apa dan sebagainya. Oh! Sadisnya…

Nota Ulangan: Scam bermaksud suatu rancangan yang berniat jahat untuk menipu wang anda, ia bukan bermaksud.. “website yang tidak membayar”, usah terkeliru. Manakala, website yang sudah tidak membayar pula, dipanggil “fraud” bukan “scam” lagi. Dan apabila fasa “fraud” ini berlaku, masa itu, barulah anda akan tahu, betapa bijak & jujurnya orang yang menegur anda sebelum ini.. tetapi, pada waktu itu, anda sudah terlambat.. wang anda sudah pun lesap.

Jadi…. bukakan minda, lapangkan dada…. tuntutlah ilmu, jangan mudah terperangkap dan menjadi mangsa dengan website-website scam yang banyak berselindung dengan nama “pelaburan internet” ini.

============================
Terbaru Mengenai Pelaburan Internet
============================

Majlis Fatwa Perlis Haramkan Pelaburan Internet (updated)

Berita Dari Singapura : Swiss Cash Haram

Pelaburan Internet Lebih Buruk Dari Makan Babi : Mufti Perlis

Berita Utama Metro Ahad:Pelaburan Saham Neraka

Mufti Terengganu & Johor Haramkan Pelaburan Internet : Berita Metro

Selamat membaca dan menuntut ilmu.. YOSH!

23
Mar

Persaingan… baik atau buruk?

======
Episod 1
======

Saya berasal dari muar, johor. Sesiapa yang tinggal di muar atau pernah pergi ke muar, mungkin tahu mengenai tempat-tempat makan yang menarik di muar. Salah satu tempat makan yang terkenal dan sering mendapat tumpuan ramai, ialah kawasan gerai di “stesyen bas pagoh” di muar. (Di bandar muar ada 2 stesyen bas, satu dipanggil stesyen bas pagoh, dan satu lagi dipanggil bas stesyen batu pahat. Nama tersebut diberikan kerana, bas yang menghala ke pagoh akan berhenti di “stesyen bas pagoh” manakala bas yang menghala ke batu pahat, akan berhenti di “stesyen bas batu pahat”, mengapa bas tersebut tidak berhenti di satu tempat sahaja? Jangan tanya saya… sila tanya masjlis perbandaran muar. Tapi yang pastinya.. kedua-dua stesyen bas tersebut, terletak di bandar muar, bukan di pagoh ataupun di batu pahat)

Di stesyen bas pagoh, dimana tempat-tempat bas parking pada waktu siang, akan berubah menjadi kawasan medan selera selepas pukul 7 malam. Terdapat banyak gerai jenis “stall” akan mengelilingi kawasan tersebut… dimana, di bahagian tengahnya, diletakkan kerusi dan meja untuk pelanggan makan. Apa yang menarik.. setiap gerai disitu, akan menjual makanan yang berlainan, dari mee bandung, nasi goreng, mee goreng, yong tau fu, mee kari, nasi ayam, hinggalah kepada minuman sejuk dan panas. Tiada satu pun gerai yang menjual makanan yang sama... setiap gerai menjual makanan yang berbeza-beza. Apa yang lebih menarik.. untuk memesan makanan ini, anda tidak perlu pergi dari satu gerai ke gerai yang lain untuk memesan makanan yang berbeza. Anda hanya perlu duduk, dan pekerja dari mana-mana gerai yang nampak kedatangan anda akan datang kepada anda dan mengambil order.

Anda boleh order apa sahaja menu dari mana-mana gerai, dan pekerja gerai tersebut akan mengambilnya dan akan memberitahu gerai yang terlibat untuk menghantarkan makanan tersebut kepada anda… lebih menakjubkan, pekerja tersebut, tidak sesekali akan menawarkan atau memaksa anda memesan makanan dari gerainya. Jika pekerja tersebut adalah pekerja dari gerai nasi lemak, dia tidak akan sesekali memaksa anda untuk memesan nasi lemak dari gerainya.

Kini setelah hampir 15 tahun… kawasan itu masih lagi dikunjungi oleh ramai orang dan masih lagi meriah.

Oh! Satu perkara yang unik di medan selera ini, anda dikehendaki membayar makanan anda sebaik sahaja dia dihidangkan di atas meja anda. Jadi, keluarkan duit anda siap-sipa selepas anda membuat order.

=========
Episod 2
=========

Pada tahun 1999, saya telah melanjutkan pelajaran di UKM dan sekaligus mula meng”habitat’kan diri saya di bangi. Pada waktu itu, saya seringkali keluar makan bersama rakan-rakan di salah sebuah medan selera di bangi ini. Di kawasan medan selera tersebut, terdapat banyak kedai makan dan ramai orang datang ke situ, tetapi, yang peliknya, semua gerai disitu, mempunyai menu masakan yang sama. Setiap gerai, pasti ada menjual mee goreng, nasi goreng, tomyam, nasi lemak dan sebagainya. Ada lebih kurang 5 kedai makan.. dan kelima-limanya menjual benda yang sama.

Selepas 5 tahun berlalu…. hanya tinggal 1 kedai makan sahaja yang masih dibuka di kawasan itu… itu pun seperti “hidup segan mati tak mahu”.

=========
Kesimpulan
=========

Saya tidak pasti… apakah faktor yang menyebabkan kejayaan medan selera di muar, dan apakah punca ke”bangkrap”an kedai-kedai makan di bangi ini. Saya tidak pasti… ini kerana.. apabila “sesuatu” itu berjaya.. ia biasanya disebabkan olehn banyak faktor & sebab…. begitu juga jka “sesuatu” itu gagal… biasanya, ia akan disebabkan oleh banyak faktor & sebab.

Tetapi, yang pastinya, diantara banyak-banyak sebab itu, pasti akan ada satu “sebab’ yang lebih menonjol (lebih dikenali dengan nama “penyebab utama”) daripada sebab-sebab yang lain, yang menyebabkan, sesuatu itu berjaya atau gagal.

Anda rasa…. apa sebab utamanya?

========
Soalan Survey
========

1) Jika anda ingin membina blog, adakah anda akan memilih niche perniagaan internet?
2) Jika anda ingin menulis ebook, adakah anda akan memilih topik “buat duit di internet”?
3) Jika anda ingin membuat seminar, adakah anda akan membuat seminar mengenai cara-cara buat duit di internet?




Email Subscriber

Sila masukkan email anda jika anda ingin post-post terkini dihantarkan terus ke email anda:

Delivered by FeedBurner