Nak Berhenti Kerja?

chickencrappyjobDulu, apabila saya cakap saya mahu berhenti kerja, ramai juga yang terkejut. Termasuklah ibu bapa saya. Iya lah.. dah dapat kerja elok-elok , gaji pun dah bagus.. kenapa nak berhenti kerja pula? Hilang akal apa?

Tetapi, setelah saya menceritakan kepada ibu-bapa saya tentang perihal keterlanjuran perniagaan yang saya lakukan dan bagaimana situasi saya sekarang, mereka akhirnya faham dan merestui tindakan saya.

Kepada sahabat-sahabat & pembaca blog ini yang ingin berhenti kerja dan melakukan perniagaan sepenuh masa,  izinkan saya berkongsi sedikit tips & pengalaman saya bersama anda semua.

Apabila bercakap mengenai perihal kewangan, saya sebenarnya adalah seorang yang bersikap sedikit konservatif dan sentiasa mahukan “play safe”… (play safe disini bukanlah bermaksud menggunakan kondom yer! oh!) .

“Play safe” yang saya maksudkan disini ialah.. “berhati-hati”, ini disebabkan saya adalah seorang lelaki yang sudah berkeluarga (suami & bapa). Apabila saya ingin mengambil sesuatu keputusan, saya bukan sahaja perlu memikirkan tentang risiko yang terpaksa ditanggung oleh diri saya sendiri, tetapi saya perlu turut mempertimbangkan risiko-risko yang akan dialami oleh isteri & anak-anak saya. Oleh itu, penilaian keputusan perlu dibuat dengan lebih mendalam.

Bagi orang-orang yang “bujang” yang masih belum merasa “nikmat” bergurau senda diantara pusat dan lutut mempunyai tanggungjawap yang besar, bagi saya, risiko yang mereka perlu tanggung apabila ingin berhenti kerja tidaklah terlalu besar jika ingin dibandingkan dengan orang yang sudah berumahtangga. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih tinggal serumah dengan ibu-bapa. Tiada apa yang perlu dirisaukan! Apakah perkara yang paling teruk yang boleh berlaku? ( orang jawa kata.. “What the worst that could happen?”) Dihalau oleh ibu bapa dari rumah?… takkan lah kot.. paling kuat pun.. kena bebel je…

Berbeza bagi orang yang sudah berumahtangga, risiko yang perlu ditanggung bukanlah terhad kepada diri sendiri, tetapi ia juga melibatkan keluarga. Saya tak kisah kalau kena makan megi setiap hari atau terpaksa berpuasa untuk 2-3 hari.. tetapi.. bagi anak-anak?.. takkan nak suruh mereka berpuasa juga? Sebab itulah saya mengambil masa yang sedikit panjang di dalam membuat keputusan untuk berhenti kerja. Saya perlukan “situasi” yang selamat…

Alhamdulilah, pada bulan Ogos 2008 tahun lepas, saya telah berjaya menyediakan “situasi selamat” tersebut, dimana, sebelum saya menghantar surat perletakkan jawatan, saya telah memastikan:-

  • kesemua hutang piutang saya telah dilangsaikan, ini termasuklah  hutang kereta, hutang kad kredit dan hutang PTPTN.
  • mempunyai “reserve funds” selama 2 tahun. Bermaksud, selepas saya berhenti kerja ini, jika saya tidak mendapat wang sesen pun setiap bulan, saya masih boleh “survive” selama 2 tahun menggunakan wang simpanan yang ada.
  • memiliki “sumber pendapatan/perniagaan” lain yang stabil. Ya.. sebelum saya berhenti kerja, saya telah memantau pendapatan saya selama setahun dan mendapati, setiap bulan, pendapatan saya dari “sumber lain (perniagaan internet)” , adalah tidak kurang 2x ganda dari “gaji” pekerjaan makan gaji saya. Malah kadang-kala,  pendapatan saya perolehi melalui “perniagaan internet saya, melebihi sehingga 4-5x ganda gaji bulanan saya. Especially pada bulan-bulan yang mempunyai 5 minggu dalam sebulan. Mempunyai pendapatan yang stabil ini adalah penting, ini adalah bukti, bahawa anda benar-benar tahu dengan apa yang anda lakukan dan bukannya hanya sekdar “nasib”. Ada sesetengah orang bernasib baik memperolehi pendapatan RM10-30k sebulan.. tetapi malangnya, hanya pada bulan itulah sahaja.. pada bulan-bulan seterusnya, nak dapat RM1,000 pun susah.
  • mempunyai  rancangan untuk mengembangkan perniagaan. Ya! sebelum anda berhenti kerja, anda sepatutnya sudah mempunyai “perancangan” tentang apa yang ingin anda lakukan dalam masa 2-3 tahun selepas itu. Jangan nanti, lepas berhenti kerja, buat satu projek, lepastu.. dah tak tahu nak buat apa… parah kalau macam tu.

Itulah beberapa tips dari saya yang mungkin anda boleh gunakan jika anda ingin berhenti kerja. Buatlah keputusan dengan bijak, jangan berhenti kerja semata-mata disebabkan anda dimarahi bos, atau tertekan kerana terlalu banyak kerja, ataupun disebabkan “claim” over time anda tidak diluluskan.  Berhenti kerja secara mem”khinzir” buta, mungkin tidak menjadi masalah bagi orang bujang.. tetapi bagi yang sudah berkeluarga seperti saya, kita sepatutnya berfikiran lebih matang dan jauh.

Apa-apa pun, setiap orang mempunyai penilaian yang berbeza, sesuatu yang baik bagi saya, mungkin tidak baik bagi anda. “Nilai diri” setiap manusia adalah berbeza.. (err.. “Nilai Diri” yang saya maksudkan disini bukan “Harga Diri” yer.. nak tahu apa nilai diri, kena baca buku “Anda Berhak Hebat”).. jesteru menyebabkan setiap pilihan yang dibuat juga adalah berbeza.

Sekian… semoga berjaya!

P/s:- Kik link dibawah jika anda ingin tahu bagaimana anda boleh berhenti kerja dengan menjalankan perniagaan di internet sepenuh masa.

banner468a-bm

Bagusnya Krisis Ekonomi…?

Apabila sebut pasal “krisis/kegawatan ekonomi”, ramai yang akan berasa sedikit gementar dan resah. Maklumlah, terlalu banyak cerita-cerita yang negatif di laporkan di akhbar tentang kegawatan ekonomi.

Kes syarikat bangkrap. Kes berpuluh-puluh ribu pekerja hilang pekerjaan…. dan tidak ketinggalan juga, masalah rumah tangga dan kadar penceraian juga dikatakan meningkat secara mendadak sewaktu kegawatan ekonomi berlaku.

Fuh!.. memang seram jugak….

Tetapi, pada hakikatnya, di tengah-tengah suasana suram, gementar dan resah akibat kegawatan ekonomi ini, terdapat juga beberapa kebaikan yang muncul daripadanya.Antara kebaikan yang diperolehi dari kegawatan ekonomi ini ialah seperti :-

1.Harga saham menjadi murah

Dikala ramai yang panik dengan kejatuhan pasaran saham dan melarikan diri daripadanya. Pelabur-pelabur yang “bijak” mula meyerbu pasaran saham pada waktu ini. Pada waktu inilah nilai-nilai saham syarikat yang kukuh menjadi begitu murah.  Ia menjadi murah bukan kerana bisnes syarikat tersebut terjejas dan akan menjadi bangkrap akan kegawatan ekonomi.. tetapi ia menjadi murah kerana ramai orang yang panik dan menjualkan pegangan saham mereka.

2. Harga hartanah menjadi murah

Disebabkan kegawatan ekonomi, maka akan ada ramai pekerja yang dibuang kerja. Tidak banyak.. sedikit, pasti akan ada individu yang terpaksa menjualkan dan melelong rumah mereka. Cuma bilangan rumah lelong pada zaman kegawatan ini akan lebih banyak dan bertambah berbanding sewaktu ekonomi sedang baik. Jadi, bagi mereka yang mempunyai duit lebih yang “banyak”, bolehlah membeli hartanah-hartanah ini. Selepas 3-4 tahun, selepas ekonomi pulih, kekayaan mereka akan bertambah, selaras dengan kenaikan nilai hartanah tersebut.

3. Orang akan menjadi lebih kreatif

Sedar atau tidak, kita selalunya akan menjadi lebih kreatif apabila berada di dalam keadaan tertekan. Jika dulu tidak pernah terfikir untuk membuat kerja sambilan, tetapi apabila dengar pihak syarikat sedang mula membuat penilaian untuk mengurangkan bilangan pekerja.. otak kita akan mula berfikir dengan ligat. Pelbagai idea untuk menjana pendapatan sampingan akan muncul di fikiran seperti jerawat cendawan tumbuh selepas hujan. Nak jual burger? Join MLM? Jual Insurans? Buat kelas tuisyen? Menulis blog? Berniaga di pasar malam? dan bermacam-macam lagi..

4. Industri Perniagaan Internet akan berkembang

Rosalind Gardner (super affiliate guru) meramalkan, pada tahun hadapan (sewaktu kegawatan ekonomi) , ebay & affiliate program akan diserbu oleh orang ramai. Lebih ramai orang akan “menyelongkari” internet dan mencuba untuk menghasilkan pendapatan sampingan menerusinya.  Perkara ini,  akan banyak mempengaruhi perkembangan industri perniagaan internet. Pad atahun hadapan, akan lebih banyak “blog buat duit” akan dibina, lebih banyak orang akan menjual barang di ebay, dan mungkin juga, akan lebih banyak ebook yang akan dihasilkan.

Kesimpulannya, apabila kegawatan ekonomi berlaku, pasti akan ada pihak yang rugi dan akan ada pihak yang untung. Pihak yang untung pula selalunya adalah terdiri dari mereka yang bijak melihat & mengambil peluang. Orang yang bijak mengambil peluang ini pula, selalunya adalah orang yang gemar melihat sesuatu itu dari perspektif yang positif.

Ringkasnya!…  sentiasa positifkan diri anda! Insyallah banyak manfaat yang akan anda perolehi! Yosh!

Apakah impian hidup anda?

Pernahkah anda bertanya kepada diri anda, “Apakah yang sebenar-benarnya anda mahu di dalam kehidupan ini?”.

Seriously…

Cuba anda pejamkan mata anda sebentar, tarik nafas dalam-dalam.. dan kemudian, tanya diri anda di dalam hati.. “Apakah yang sebenar-benarnya anda mahu di dalam hidup ini?”.

Ok!.. cuba buat sekarang…

Ok.. pejam kan mata tu..

Pejamlah….

Pejam den kata.. yang ekau baca lagi nie buek apo? Den baling kang ngan kuih nie!!

ho! ho!..

..

..

..

Baiklah!.. Adakah anda dapat menjawapnya?

Mungkin jawapan anda… aku inginkan sebuah kehidupan yang bahagia! (eh?! memanglah!.. kan semua orang nak hidup bahagia?)..

Persoalannya…. adakah hidup anda tidak bahagia sekarang? Eh! Bahagia juga..

Abistu? Kenapa nak inginkan hidup bahagia lagi? Kan dah bahagia sekarang? Nak bahagia macam mana lagi?

Ho! ho! ho!…

Kebanyakkan orang mempunyai impian hidup yang kabur. Mereka sebenarnya, tidak pasti dengan apa yang mereka mahukan di dalam hidup ini. Mereka ingin hidup bahagia.. tetapi bagaimanakah rupa kebahagiaan itu?

Adakah dengan memiliki rumah yang besar?
Adakah dengan memiliki isteri yang cantik?
Adakah dengan memiliki suami yang penyanyang?
Adakah dengan  memiliki anak-anak yang soleh dan solehah?
Adakah dengan memiliki wang berjuta-juta?

Bagaimanakah kebahagian hidup yang anda inginkan? Anda perlu gambarkan ia dengan jelas di dalam minda anda! Barulah anda boleh mencapainya suatu hari nanti.

Hidup ini adalah seperti suatu perjalanan, anda perlu tahu dengan lengkap alamat destinasi yang ingin anda tujui, barulah anda boleh menuju kepadanya dan tiba kepadanya. Jika tiada alamat dan destinasi, bagaimana anda ingin menuju kepadanya?

Setiap orang mempunyai matlamat, impian serta destinasi yang berbeza-beza. Apa yang penting, anda perlu tahu dengan jelas.. apakah impian hidup anda. Tanpa impian hidup yang jelas, anda hanya akan terapung-apung tanpa arah dan hanya mengikuti arus kehidupan, dan ianya, adalah suatu kehidupan yang sia-sia.

Sekali lagi.. tarik nafas dalam-dalam dan fikirkan dengan teliti.. “Apakah yang anda mahu di dalam kehidupan ini?”.

Seriously, soalan ini nampak seperti mudah.. tetapi ia sebenarnya bukanlah semudah yang disangka, ia memerlukan pemikiran yang amat mendalam dan hati yang ikhlas kepada diri anda sendiri untuk menjawapnya…

Tak perlu menulis jawapan anda disini.. jawap sahaja di dalam hati anda dengan ikhlas.. usah menipu diri anda sendiri tentang apa yang anda mahukan sebenar-benarnya di dalam hidup ini. Jawaplah dengan ikhlas… insyallah , ianya akan membawa satu semangat baru di dalam hidup anda.

Wassalam.

P/s:- Bagi yang mahu nampak soleh & solehah, mungkin mereka akan menjawap, “Saya hanya mahukan ganjaran  syurga Allah di akhirat kelak!”.  Ya! itu sudah semestinya! Ianya adalah impian hidup setiap orang islam, tetapi.. mengapa perlu hadkan impian hidup kita kepada 1 impian sahaja?

Bagaimana mencapai kebebasan kewangan?

Ramai orang yang ingin mencapai kebebasan kewangan, tetapi kebanyakkan tidak tahu bagaimana hendak melakukannya. Sebenarnya, untuk mencapai kebebasan kewangan adalah mudah, anda hanya perlu melakukan 3 langkah berikut.

Sebelum itu, kita semak dulu, apa maskud bebas kewangan?
Secara ringkasnya, bebas kewangan ialah, apabila.. anda tidak mempunyai hutang, dan pendapatan anda melebihi perbelanjaan anda setiap bulan. Ok that it! Senang je bukan?

Ok! mari kita lihat 3 langkah bagaimana mencapai kebebasan kewangan!

1) Langsaikan semua hutang anda (keluar dari cengkaman hutang)

Langkah pertama adalah dengan menyenaraikan kesemua hutang anda. Hutang kereta, kad kredit, ptptn, rumah, mamak, kawan-kawan, court mammoth dan sebagainya. Senaraikan hutang anda mengikut urutan yang mana yang paling sedikit sebagai hutang no 1.  Tuliskan juga, berpakah jumlah minimum yang perlu anda bayar untuk setiap hutang anda.. contohnya,

1) Kad kredit (RM5000)… RM250 sebulan
2) PTPTN (RM21,000)…….RM150 sebulan
3) Kereta (RM70,000)…….RM600 sebulan
4) Rumah (RM180,000)….RM1,200 sebulan
===========================
Jumlah (RM276,000)…….RM 2,200 sebulan
===========================

Wah! banyak betul hutang anda rupanya (baru perasan). Jadi, langkah pertama.. pasang tekad di dalam diri anda terlebih dahulu untuk tidak menambah lagi hutang yang sedia ada, dan juga, bertekad untuk melangsaikan kesemua hutang anda.

Oleh itu, pada penghujung setiap bulan, peruntukan duit yang lebih sedikit untuk membayar hutang-hutang anda, mungkin sebanyak RM2,500. Apa yang perlu anda lakukan, bayar kesemua hutang anda dengan jumlah minimum, tetapi untuk hutang no 1 (kad kredit) , sila bayar lebih (RM300).. bermakna, anda membayar sebanyak RM550 pada hutang kad kredit anda. Dengan cara ini, dalam masa 10-11 bulan, anda akan dapat menghapuskan satu hutang anda.

Selepas hutang kad kredit terhapus, gunakan duit yang lebih itu untuk membayar hutang PTPTN anda pula, (kini anda membayar sebanyak RM700 untuk hutang ptptn anda). Dalam masa 2 tahun, anda akan berjaya menghapuskan hutang PTPTN anda.

Kemudian, setelah berjaya menghapuskan hutang PTPTPN dalam hidup anda, duit lebih itu, anda gunakan pula untuk bayar kereta anda, dan dalam masa 1 tahun setengah, anda akan berjaya melangsaikan hutang kereta anda.

Kini tinggal hutang rumah sahaja.. gunakan peruntukan sebanyak RM2,500 tadi untuk membayar hutang rumah anda, insyallah, dalam masa 5 tahun, anda akan berjaya melangsaikan hutang rumah anda.

Wah!.. jika dikira kesemuanya, anda akan berjaya melangsaikan kesemua hutang anda sebanyak RM276,000 itu dalam masa 10 tahun sahaja. Not bad bukan? Jika usia anda kini 25 tahun.. pada usia 35 tahun, anda sudah bebas dari segala hutang!

2) Tambah pendapatan berulang “passive income”  anda.

Langkah seterusnya (langkah ini boleh dilakukan sewaktu anda masih lagi dalam proses membayar hutang) , ialah dengan mewujudkan “pendapatan berulang” dalam hidup anda. Pendapatan berulang ialah pendapatan yang anda perolehi setiap bulan walaupun anda tidak melakukan perkara/pekerjaan tersebut lagi.

Contohnya, adalah seperti..

  • menulis buku
  • memiliki rumah sewa
  • menulis lagu
  • memiliki website perniagaan internet yang berfungsi secara automatik
  • blog yang menjana pendapatan walaupun tidak diupdate
  • dan sebagainya

Apa yang menarik mengenai pendapatan berulang ini, ianya tidak terikat/bergantung kepada masa. Anda hanya perlu melakukannya sekali sahaja.. dan ia, akan terus-menerus memberikan wang kepada anda.

3) Awasi status kewangan anda setiap masa

Langkah ketiga, selalulah menyemak status kewangan anda setiap bulan, beli benda-benda yang perlu sahaja dan beli ia secara tunai. Jangan sesekali berhutang dan menggunakan kad kredit (kad kredit hanya sesuai digunakan selepas anda sudah berjaya mencapai tahap kebebasan kewangan, sewaktu di dalam proses untuk mencapai kebebasan kewangan, anda tidak digalakkan menggunakan kad kredit).

Percayalah.. dengan hanya melakukan 3 langkah ini, anda akan berjaya mencapai tahap kebebasan kewangan hanya dalam masa beberapa tahun sahaja! Hey! Ianya bukan teori tau… ianya adalah praktikal.. saya sudah berjaya melakukannya dan ianya hanya mengambil masa 3 tahun, saya pasti anda juga mampu melakukannya! :)

Yosh!

3 sikap un-jutawan

Selain daripada ilmu pengetahuan, kemahiran dan juga peluang… "sikap (attitude)" juga adalah merupakan salah satu faktor yang paling penting di dalam menentukan kejayaan anda. Oleh itu, anda perlulah bijak mengawal dan mengubah sikap anda agar ia tidak menjadi penghalang kepada kejayaan anda.

Jika hendak diceritakan tentang sikap-sikap baik yang perlu ada untuk membolehkan anda menjadi jutawan.. sudah pastilah ia terlalu banyak. Dari sikap suka berfikiran positif, baik hati, mesra, rendah diri, jujur, gigih, ikhlas hinggalah kepada sikap suka tolong-menolong.Memang terlalu banyak untuk disenaraikan…

Tapi pada kali ini, saya ingin bercerita tentang 3 sikap negatif yang perlu anda elak dan buang jauh-jauh dari dalam diri anda jika anda ingin menjadi jutawan. Jika anda berjaya mengikiskan 3 sikap ini dalam diri anda, insyallah.. jalan untuk anda menjadi jutawan, akan semakin mudah.

Apakah 3 sikap buruk yang perlu dikikis dan dibuang tersebut?

1) Menyalahkan Orang lain

Perkara ini saya sudah nyatakan pada entri saya sebelum ini. Sikap yang hanya suka menyalahkan orang lain tidak akan membawa diri kita kemana-mana. Dengan menyalahkan orang lain.. bermaksud, kita enggan untuk meng"hasabah" diri, jesteru, ia akan menyebabkan kita tidak akan dapat melihat segala kekurangan diri dan memperbaikinya. Apabila tidak memperbaiki diri.. maka, susahlah nak jadi jutawan.

Oleh itu, sentiasa "take 100% responsibility" diatas segala hasil dan akibat yang anda terima dari usaha anda. Jika ia berjaya.. ia adalah disebabkan anda.. dan jika ia gagal.. ia juga adalah disebabkan anda.

 

2) Komplen tak sudah-sudah

Ini satu lagi sikap yang perlu anda hindarkan di dalam diri anda.  Jangan terlalu mudah merungut dan membuat komplen. Membuat komplen menunjukkan fkiran anda sedang menumpu kepada "masalah".. dan ini akan menyebabkan hidup anda lebih tertekan. Untuk berjaya, fikiran dan fokus kita perlulah lebih kepada "penyelesaian masalah" dan bukannya kepada "masalah" tersebut.

Mungkin ada yang kurang faham.. tak mengapa.. saya bagi contoh.

Contohnya.. anda kini sedang berada di lapangan terbang dan ingin menaiki pesawat dalam masa 30 minit lagi. Tiba-tiba, satu pengumuman dibuat yang menyatakan penerbangan anda terpaksa ditunda sehingga 3 jam.

Bagi orang yang bersikap "un-jutawan" dan suka komplen… mereka akan mula..

  • memikirkan masalah baru yang akan muncul akibat kelewatan penerbangan tersebut
  • mereka akan fikirkan tentang meeting mereka yang akan terlepas
  • mereka akan fikirkan projek yang cuba mereka dapatkan akan terlepas
  • mereka akan fikirkan kesan buruk yang akan menimpa syarikat mereka akibat terlepas projek tersebut
  • mereka akan fikirkan syarikat mereka terpaksa membuang pekerja
  • mereka akan fikirkan pekerja-pekerja mereka memberontak
  • mereka akan fikirkan syarikat mereka kena saman dan terpaksa ditutup
  • mereka fikirkan mereka akan bangkrap
  • mereka akan fikirkan kekecewaan serta kesusahan hidup yang mereka akan hadapi

Akhirnya.. mereka mengambil keputusan untuk membuat komplen kepada syarikat penerbangan dan minta ganti rugi kepada keseluruhan kerugian yang akan mereka alami di dalam hidup mereka.

Lihat.. itu contoh orang yang suka menumpukan fikiran mereka kepada masalah. Mereka akan fikirkan apakah masalah seterusnya yang akan mereka hadapi disebabkan masalah yang mereka hadapi sekarang.. mereka hanya akan fikirkan masalah.. masalah.. masalah.. dan masalah..

Berbeza dengan orang tidak suka membuat komplen, pemikiran mereka lebih fokus kepada "bagaimana hendak menyelesaikan masalah" tersebut… fikiran mereka dengan pantas akan mula mencari-cari kaedah penyelesaian yang terbaik yang boleh mereka lakukan.

Mereka akan mula mencari-cari option yang lain seperti, menaiki bas? kereta? LRT? komuter? feri? teksi?  helikopter? dan sebagainya..  yang penting mereka akan berusaha sendiri dan cuba menyelesaikan masalah tersebut.. dan bukannya hanya menunggu. melihat.. dan kemudian membuat komplen.

Jadi.. berhenti membuat komplen. Ia hanya akan membuatkan diri berasa tertekan dan terus berada di dalam situasi yang lemah dan tidak berdaya.

 

3 ) Membuat alasan.. untuk menyedapkan hati

Anda mesti pernah dengar orang kata..

"Ala.. kekayaan itu tak penting! Tak kaya pun tak kisah!"..

Orang yang berkata begini memang confirm tidak akan jadi kaya. Cuba anda tukarkan perkataan "kekayaan" itu kepada keluarga ataupun "sahabat"..

Ia akan berbunyi.. "Alaa.. keluarga itu tidak penting! Tak ada keluarga pun tak kisah!"..

Eee.. teruk bukan bunyinya? Jika anda berkata begitu, sudah pastinya keluarga anda akan menjauhi anda.. begitu juga jika anda mengatakan "sahabat itu tidak penting".. sudah pastinya sahabat-sahabat anda juga akan mula menjauhi anda. Sebab anda tidak tahu menghargai mereka dan menganggap mereka tidak penting di dalam hidup anda. Jadi, mengapa mereka perlu menghampiri anda?

Begitulah juga dengan kekayaan.. jika anda rasa kekayaan itu tidak penting.. maka.. sudah pastinya kekayaan itu akan menjauhi diri anda. Sebab itu saya kata..  orang yang berkata begitu, confirm takkan kaya!.

Ada juga sesetengah orang suka mengatakan "Wang tidak boleh membeli kebahagian dan segala-galanya..".. betul ke?

Memang betul! Setiap benda perlu digunakan pada tempatnya yang betul.. begitu juga wang.. anda perlu menggunakan ia pada tempat yang betul bersesuaian dengan fungsinya. Wang memang tidak boleh membeli kebahagian tetapi ia boleh membeli rumah yang besar, keta yang besar, perabot yang cantik dan sebagainya untuk membina kehidupan yang bahagia.

Begitu juga dengan cinta & kebahagian.. anda rasa anda boleh beli makanan, minuman, pakaian dan rumah hanya dengan cinta?.. Cubalah ambil makanan di kedai dan kemudian cium makcik gerai tu sebagai tanda anda membayar makanan anda dengan cinta & kasih sayang. Ho! ho! ho! Boleh jadi anda kena pelangkung dengan tong gas nanti..

Jadi.. bagi saya, alasan yang mengatakan "Wang tidak boleh membeli kebahagian.." hanyalah alasan untuk menyedapkan hati dan memaksa diri untuk tidak bergerak dari zon selesa… yang akhirnya.. membuatkan diri kita hanya "begitu-gitu" sahaja disitu.

 

Akhir kata, jika anda ingin menjadi jutawan @ orang yang berjaya.. anda perlulah kikis dan buang jauh-jauh 3 sikap buruk yang saya nyatakan diatas. Berhenti menyalahkan orang lain, berhenti merungut dan berhenti membuat alasan. Fikirkan perkara yang positif dan usahakan… insyallah cita-cita & impian anda akan tercapai!

Yosh!